Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pengunjung-pengunjung senimengait.com,
Alhamdulillah, pada malam ini saya berkesempatan untuk membuat post terbaru. Insya Allah, tidak lama lagi, umat Islam akan menjalankan ibadah puasa sempena bulan Ramadhan. Moga Allah swt permudahkan segala urusan kita! Amin.
Saya sejujurnya, kerap memikirkan bagaimana hendak menarik minat pembaca untuk meminati bidang mengait ini. Walaupun saya bukan terdiri dari golongan veteran yang sudah mempunyai pengalaman mengait bertahun-tahun, tetapi, dengan pengalaman yang sudah dikumpul sejak beberapa tahun lalu, Alhamdulillah, saya amat teruja melihat peminat mengait di Malaysia ini semakin bertambah dari sehari ke sehari, membuatkan saya ingin membantu mengasah minat ini bersama.
Mengait merupakan sebuah aktiviti bukan sahaja sekadar hobi, namun, banyak kelebihan yang boleh kita perolehi dari ilmu mengait ini. Salah satunya ialah meningkatkan tahap kesihatan seseorang itu dan juga membantu para suri rumah menambah pendapatan dan perbelanjaan keluarga 🙂 Hebatkan? Saya ada mengulas perkara ini lebih terperinci di buku saya, Variasi Asas Knitting yang boleh dibeli menerusi Mall Karangkraf.
Sejak kebelakangan ini, saya sebenarnya buntu mencari idea baru dalam menghasilkan projek-projek mengait. Entah kenapa, saya rasa agak bosan untuk memulakan projek yang baru. Saya sedang mencari kelainan dan sesuatu yang berbeza dalam bidang ini. Bukan setakat boleh mengait baju, alas meja, selimut, selendang, beg dan sebagainya, tetapi mungkin lebih daripada itu. Tetapi apakah itu?
Beberapa minggu yang lalu, saya kembali memujuk suami saya setelah sekian lama saya memendam keinginan untuk membeli sebuah mesin jahit. Sejak menjadi “guru terjun” mengajar subjek ERT di sekolah sejak 3 tahun yang lalu, saya sudah memasang niat untuk belajar menjahit dengan izin Allah, agar saya mampu memberikan pengajaran tentang Jahitan kepada anak murid saya dengan lebih baik. Nampaknya, setelah 3 tahun berlalu, Alhamdulillah, saya berpeluang untuk memiliki sebuah mesin jahit akhirnya! Terima kasih En. Suami. Saya juga menginginkan mesin jahit agar saya dapat membuat projek-projek seperti gambar di bawah 🙂
Hasil karya: Pn. Adyani Amit (https://www.facebook.com/adyani.amit?fref=ufi)
Hasil karya: Pn. As Linda (https://www.facebook.com/as.linda3?fref=ufi)
Comel tak? 🙂 Lihatlah, mengait bukan sahaja melibatkan aktiviti mengait alas meja, alas kerusi, selimut dan beg. Anda juga boleh membuat “evolusi” dengan melakukan “projek berfikir di luar kotak”. Jika anda mempunyai lebihan-lebihan baju yang tidak mahu dipakai, berbanding dibuang begitu sahaja, apa kata anda cuba mencantumkan skirt yang dikait bersama dengan baju itu seperti yang dilakukan oleh Puan As Linda? Kreatif, bukan? Anda tidak boleh menjahit? Jangan risau, hanya sedikit pengetahuan asas menjahit anda boleh lakukannya!
Tetapi yang paling menarik minat hati saya juga untuk belajar menjahit adalah gabungan Top yang dihasilkan oleh knitting/crochet dan Skirt dari fabric jenis cottton. Tahun lalu, projek menjahit skirt menggunakan fabrik pada baju yang dikait menggunakan teknik sama ada knitting/crochet juga “popular”. Saya tidak tahu menjahit meggunakan mesin. Tetapi aktiviti ini mampu menaikkan semangat saya untuk terus mengait dengan idea-idea yang baru <3
Hasil Karya: Mdm. Clearicy A.J (https://www.facebook.com/tinunturu.dalice) – Dibeli pada tahun 2014.
Pertama kali melihat dress hasil Mdm. Clearicy ini saya terus jatuh cinta! Sungguh-sungguh jatuh cinta dan tanpa membuang masa, saya terus membelinya untuk dipakai oleh anak saya yang waktu itu baru setahun lebih. Masya Allah. Saya sangat berpuas hati. Anda juga pasti terpesona melihat betapa hasil kaitan yang digabung dengan kain yang dijahit menggunakan mesin ini (anda juga boleh menjahit menggunakan tangan) sangat memukau hati. Sungguh!
Kemahiran mengait dan menjahit merupakan satu bonus untuk menceriakan lagi aktiviti mengait kita. Insya Allah. Saya berharap, anda yang baru mula belajar mengait akan terus berusaha meningkatkan lagi skil ini dengan lebih baik dari semasa ke semasa. Mengait kini bukan sahaja hanya dengan benang. Tapi anda boleh hasilkan sesuatu projek mengait itu lebih dari yang dapat dibayangkan! Percayalah!
Baiklah, masa untuk saya berhenti menulis buat masa ini. Semoga dengan artikel kali ini sedikit sebanyak dapat meniup semangat anda untuk jatuh cinta pada seni mengait. Mengaitlah dengan penuh gembira dan senang hati untuk yang tersayang disamping bijak mengatur masa <3
Ery EROGLU
Da’Knit (www.daknit.com)
sekali mengait, tak bisa berhenti ya. aku sendiri sangat suka sekali dengan crochet.
Nisa F,
Benar sekali! 🙂