Saya mempunyai dua orang anak murid perempuan, berumur 13 tahun, yang menunjukkan minat untuk belajar mengait. Pada suatu hari, mereka datang kepada saya sewaktu selesai sesi PdP di dalam kelas dan hanya menjalankan sesi membuat latihan.

“Cikgu, mmm..mm” dengan senyuman yang saya tafsirkan sebagai senyum sengih malu-malu, mereka berdua saling tolak-menolak berkira-kira siapa yang harus bercakap dengan saya. Oh ya, saya memang seorang guru yang garang tetapi tidak setiap masa. Adakalanya saya suka bermesra dengan mereka. Jika setiap masa garang, pasti stress jadinya!

“Ya, kenapa?” tanya saya sambil angkat kening.
“Errr… cikgu.. kami ni mau beli benang dengan cikgu!”

Oh.. jangan salah faham ya. Saya tidak pernah mempromosi kedai saya dengan pelajar. Tidak sama sekali! Cuma kebetulan salah seorang pelajar tersebut pernah lalu di hadapan kedai kami di Wisma Muis dan melihat saya di dalamnya, katanya. Saya dengan wajah yang agak terkejut, pun berkata.

“Ohhh.. ya ka.. boleh saja, tahu mengait ka?” tanya saya.
“Tidak tahu cikgu, tapi kami mahu belajar sama cikgu! Kami nampak cikgu mengait” serentak mereka berdua tersenyum lebar dengan ekpresi wajah penuh harapan agar saya menjawab ya!

Oh masya Allah.. saya tersenyum sangat lebar dan sedikit tergelak melihat kesungguhan mereka berdua. Ya.. saya sangat gembira. Bukan kerana saya dapat jual benang tetapi gembira kerana melihat kesungguhan dua anak murid saya itu untuk belajar mengait. Rupanya, jika ada waktu saya mengait di kawasan sekolah pada waktu-waktu tertentu, pelajar sebenarnya memerhatikan kita dengan penuh minat. Apatah lagi jika kita mengait di khalayak ramai!

Sebab itu, perbincangan tentang Knitting/Crochet in Public beberapa minggu yang lalu di dalam group MKCC, saya sangat setuju jika kita sentiasa aktifkan diri mengait di khalayak ramai. Entah mungkin berapa ramai yang mampu kita “selamatkan” dari terjerumus melakukan aktiviti-aktiviti liar dan tidak sihat. Secara tidak langsung, kita pun mendapat “pahala percuma”. Apa pun aktiviti sihat yang kita lakukan, sedikit sebanyak ianya mampu mempengaruhi orang lain. Semoga kita semua boleh memberikan inspirasi kepada mereka yang baru dan ingin belajar mengait.

“Baiklah, kamu bagitahu saja cikgu, apa kamu mahu. Nanti cikgu sediakan ok,”

Setelah itu, bersungguh-sungguh mereka memilih benang dan keesokkannya saya bawakan hajat mereka. Kini sudah lebih kurang 6 bulan berlalu sejak peristiwa ini. Namun mereka masih menunjukkan minat yang sama. Sekali sekala saya akan menjemput mereka ke kedai baru untuk belajar apa yang mereka mahu tahu. Syukur. Ibu bapa mereka juga memberikan sokongan yang baik dengan minat ini.

Kalau dulu-dulu, mengait ini orang kata hanya sesuai dijadikan aktiviti orang tua di kalangan masyarakat kita, tetapi kini tidak lagi. Saya ada banyak pelajar yang berminat untuk belajar mengait. Saya berharap mereka juga akan teruskan minat ini sehingga mereka berkahwin, mempunyai anak dan sehingga tua. Insya Allah.

Insya Allah. Dengan izin Allah.

Sekadar coretan,
Ery Eroglu
11 Oktober 2014
5.01 PM waktu Malaysia