Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Agak lama saya tidak membuat sebarang update di blog ini. Singgah sekejap.. tutup.. belum ada idea apa yang nak dikongsi sama.

Tapi alhamdulillah hari ni saya mendapat sedikit idea hasil dari pencarian di internet, iaitu saya ingin berkongsi dengan semua peminat mengait, mengapa -handmade- mahal? hihi.. tajuk macam nak buat promosi pulak!

OLYMPUS DIGITAL CAMERAHasil knitting yang tak siap-siap lagi… huhu..

Saya bukanlah seorang penjual hasil kait yang aktif, tetapi saya sangat aktif dalam menghasilkan barangan kait. Kadang kala.. saya mengambil masa berminggu-minggu untuk siapkan hanya satu projek disebabkan kekangan masa dan terdapat lebih banyak hal lain yang perlu diutamakan. Namun begitu, saya sememangnya adalah seorang peminat mengait yang tegar dan mengait adalah merupakan hobi yang amat saya sayangi.

Oleh itu, sebagai peminat mengait yang tegar, saya cuba memahami masalah-masalah yang selalu dihadapi oleh mereka yang menjadikan hasil kait sebagai satu perniagaan sampingan/utama. Antara soalan yang kerap saya dengar dan terima dari sumber-sumber di internet dan juga saya sendiri ialah:

1. Kenapa mahal sangat? Tak boleh murahkah?

2. Berapa ya harganya? .. harganya sekian-sekian… *senyap…*

3. Saya nak macam ni, boleh? Berapa harga dia? Ok… saya akan bank in dan akan maklumkan nanti.. (sebulan kemudian… 3 bulan kemudian.. setahun kemudian…..) < — ini adalah salah satu sikap yang sangat tidak beretika di dalam urusan jual-beli. Nauzubillahiminzalik.. moga Allah lindungi kita dari bersikap sedemikian.

4. Benang mahal sangatlah… Benang murah tak adakah? Saya nak selesa dipakai.. bla..bla… (ni adalah salah satu soalan yang saya rasa macam agak susah juga nak jawab…)

5. Kenapa mahal? kalau saya beli di kedai saya boleh dapat murah lagi…. (oh Tuhanku… *palm on face*!)

Ok.. cukup dengan soalan-soalan di atas.. kalau nak tambah, nanti tak habis-habis saya menulis 😉 hehe.. just kidding!

Baiklah, berbalik kepada, mengapa -handmade- mahal?. Sebagai penjual, kita pasti akan menentukan kos pengeluaran dahulu (sambil ajar pelajar, saya pun turut belajar sama), iaitu,

a) kos bahan mentah,

b) kos upah,

c) kos overhed (jika ada),

Maka jumlah yang diperolehi dari ketiga-tiga kos ini adalah kos pengeluaran kita. Manakala sebagai pembeli pula, kita perlu pastikan “bajet” perbelanjaan tidak melebihi keperluan dan bijak dalam mengurus pembelian (utamakan yang utama dahulu)

Berikut adalah contoh kos pengeluaran di pihak penjual:

Barangan yang ingin ditempah: Baju Dewasa saiz L

Benang yang diperlukan: 8 buku benang (100gram/sebuku) = RM22/sebuku (guna benang import yang selesa)

Accessories tambahan: Butang (5 biji) = RM5.00/5 biji

Upah (kos upah mengait, ingat bahawa penjual adalah manusia dan memerlukan ruang masa yang terhad untuk mengait. Maka kiraan upah diambil mengikut jam): RM5/sejam. Tempoh menyiapkan ialah dalam masa seminggu (7 hari) dengan menggunakan 5 jam/sehari.

Kos overhed: TIADA

Maka jumlah keseluruhan ialah: RM22 x 8 + RM5.00 + RM25 x 7
Kos pengeluaran: RM356.00

Mengapa -handmade- mahal?

Ingin saya ketengahkan masalah utama yang selalu dihadapi oleh pihak penjual barangan kait ialah kebanyakkan pembeli kurang memahami istilah -handmade mahal-. Wujud sebahagian mereka yang menganggap, barangan kait ini amat mudah dihasilkan dan boleh disiapkan dalam waktu yang singkat. Apa yang menyedihkan lagi, mereka gemar membuat perbandingan harga/hasil yang dibuat di antara penjual A dan penjual B. Tetapi, tahukah anda, penjual A itu bukanlah orang yang sama dengan penjual B? Tahukah anda, tangan penjual A itu mungkin lebih kecil dari penjual B menyebabkan tangannya mungkin lebih memerlukan tenaga untuk mengait? Tahukah anda, penjual A tidak tidur malam untuk menyiapkan tempahan berbanding penjual B?

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Setiap barang kait yang dihasilkan mempunyai nilai sentimental yang tidak sama di antara penghasil barang kait. Barangan dan kos mentah yang digunakan dalam menghasilkan barangan kait juga bukanlah sesuatu yang murah, apatah lagi jika anda sebagai pembeli inginkan keselesaan ketika memakai barangan hasil kait. Pada masa kini juga, pelbagai jenis benang kait yang dijual adalah dari jenis yang lebih selesa, berkualiti dan bermutu. Sebagai penjual barangan kait, kualiti dan keselesaan merupakan elemen yang amat dititikberatkan bagi memastikan pihak pembeli berpuas hati dengan hasil yang diterima. Oleh itu, bagi memastikan jual-beli mendapat kepuasan dikedua-dua pihak, pihak penjual dan pembeli perlulah berbincang dengan baik, mencari alternatif yang boleh memenuhi kehendak pembeli dan yang paling penting ialah pihak pembeli tidak menganggap yang pihak penjual itu adalah sebuah -mesin-. Ingatlah, penjual barangan kait itu menggunakan tenaganya 100% untuk menyiapkan tempahan anda.

**

Saya sangat bersyukur kepada Allah, kerana Allah memberikan saya peluang untuk memahami perasaan sebagai seorang penghasil barang kait. Saya juga gembira apabila melihat pasaran barangan kait juga semakin maju di Malaysia. Jikalau di negara luar, anda pasti teruja melihat betapa aktifnya wanita-wanita disana menghasilkan barangan kait dan mereka sangat-sangat menghargai hasil kait yang dibuat oleh tenaga manusia walau mahal sekalipun. Sebagai contoh, anda boleh lihat barangan handmade yang dijual di ETSY. Fikirkan..

Selain itu, antara perkara yang turut memberangsangkan saya ialah kini, benang-benang kait, jarum kait, accessories dan pelbagai lagi sudah begitu mudah didapati di pasaran seperti di kedai-kedai tempatan ataupun secara maya (online).

Kesimpulannya..jika anda merasakan hasil barangan kait yang dijual adalah mahal, bukankah lebih baik jika anda sendiri yang mengaitnya? 🙂 Percayalah, anda akan lebih menghargainya!

577056_470453856311464_1289591514_n1537238727

Disini ada beberapa tips yang ingin saya kongsikan, buat renungan saya sendiri dan juga anda sebagai pembeli. Jika anda berminat dengan hasil kait yang dijual di laman-laman penjual barangan kait, pastikan anda:

1. Terapkan di dalam minda anda bahawa barangan -handmade- memang mahal.

2. Benar-benar berminat dan mempunyai perbelanjaan yang sememangnya anda khaskan untuk membeli barangan kait tersebut. Jangan bertanya seolah-olah anda serius, namun anda tahu anda tidak mampu membayarnya. Ianya hanya akan mengecewakan si penjual dan menganggap anda hanyalah seorang STALKER dan tidak serius. Akhirnya, nama anda akan di BLOCK/BLACKLIST.

3. Tidak membuang masa si penjual dengan bertanyakan soalan tanpa memberi respon semula. Tunjukkanlah bahawa diri anda adalah seorang yang beretika. Katakan sahaja anda tidak jadi membelinya/menempah jika anda ingin batalkan niat anda. Jangan buat si penjual tertunggu-tunggu respon anda.

4. Tidak membandingkan harga di antara penjual A dan penjual B kerana tangan yang menghasilkannya adalah berbeza (sama macam memasak, setiap masakan punya rasa yang berbeza walaupun menunya sama!)

5. Benar-benar memahami kos pengeluaran yang terpaksa di tampung oleh penjual barangan kait sebelum membuat kesimpulan. Dan di pihak penjual, perlulah memohon deposit dahulu bagi menampung semula kos yang telah dibelanjakan bagi mengelakkan berlakunya tempah dan lari.

6. Tahu bahawa barangan kait yang dihasilkan oleh MESIN tidak sama dengan TENAGA MANUSIA.

Sekian, terima kasih 🙂

Mohon maaf jika ada tulisan saya terlalu berjela-jela. Saya cuma berharap agar artikel ni boleh membantu kita semua dalam menyelesaikan masalah -mengapa handmade mahal?-

NOTE:

Semoga bermanfaat untuk saya, awak dan mereka! 🙂

Ery,
www.daknit.com

 

Print Friendly, PDF & Email