Inspirasi <3

Seperti yang kita sedia maklum, negara luar lebih aktif dalam penghasilan pattern-pattern mengait. Bukan 1 atau 2, tetapi lebih dari beberapa negara yang sentiasa tampil dengan design-design baru dan rekaan yang mengikut trend masa kini seperti Indonesia, UK, USA, Brazil, Italy, China dan banyak lagi. Di Malaysia, mereka cipta pattern mengait merupakan satu cabang yang baru menapak sejak beberapa tahun ini dan masih tidak begitu aktif. Tiada majalah mengait, buku mengait yang terhad dan tiada yang pakar untuk membantu. Maka, pada yang minat, hanyalah mampu belajar sendiri mengikut kemampuan masing-masing dan cuba jaya sahaja berpandukan tutorial yang ada di internet.

Apakah ceritanya?
Sejak menceburkan diri dalam bidang mengait pada 2009, secara perlahan-lahan saya cuba mencipta/me-reka pattern sendiri hasil dari inspirasi dan juga idea yang terlalu banyak tetapi saya masih tidak mampu memperjuangkan minat ini 100% disebabkan masa yang terhad dan ilmu yang kurang. Saya mula menulis pattern pada awal tahun 2010 dengan pattern pertama saya yang bernama Cable Handphone (Direkod dalam www.aheys.com). Oh ya, pada masa itu saya masih sangat mentah! Kemudian, saya teruskan minat dengan menghasilkan pula kit pattern untuk dijadikan sebahagian produk dari Da’Knit dan sejak itu, saya terus berusaha mengaktifkan otak ini untuk terus menulis pattern-pattern selagi mampu. Insya Allah.

Benar, kebanyakkan pattern yang dihasilkan mungkin serupa, mungkin seiras, mungkin juga 50% sama hasil dari inovasi pattern yang asal, tiada yang asli. Tetapi saya tetap kuatkan hati untuk terus mencuba. Alhamdulillah, dengan “muka tembok” mempromosikan hasil pattern sendiri yang tidak seberapa itu, saya kini dapat melihat perkembangan yang baik dan hasil yang menakjubkan dari semasa ke semasa. Apatah lagi saya turut sama kongsikan pattern-pattern tersebut di sebuah laman web terkenal iaitu Ravelry.Com di mana saya menerima banyak PM dari sahabat mengait luar negara yang sentiasa memberikan sokongan mereka untuk saya terus menulis. Ya, usaha itu perlu! Yakin itu mesti! Takut mencuba itu mesti dibuang.

asd

Sebentar tadi saya menerima sebuah email melalui Ravelry yang sangat tulus isi kandungannya. Antara pattern saya yang paling popular saya -publish-kan di Ravelry ialah Emerald Baby Hat. Walaupun tidak sampai 500 yang favourite dan projek sharing tidak melebihi 15 orang (yang rata-ratanya adalah negara luar), saya sangat terharu membaca email kali ini. Saya juga mendapat inspirasi membuat pattern ini dari seorang pelajar saya, dan kini beliau juga ingin menggunakan corak yang sama dan meminta izin dari saya untuk ditulis pada pattern pertamanya! Alangkah itu! Tetapi pastinya, saya sangat gembira kerana pattern saya itu menjadi inspirasi untuknya menulis patternnya yang pertama! Masya Allah. Subhanallah.

Terima kasih kerana sudi membaca luahan hati saya pada hari ini. Maaf jika terlalu panjang. Tetapi baru kini ingin saya masuk ke dalam poin penulisan saya hari ini

Sejak tahun lalu, saya sangat gembira melihat perkembangan menulis pattern di kalangan sahabat-sahabat mengait Malaysia. Malah, sejak saya menceburkan diri dalam bidang penulisan pattern, saya bertemu dengan penulis-penulis pattern yang telah lama dalam bidang ini, Masya Allah. Bukankah itu satu peluang untuk Malaysia mengembangkan lagi bidang seni mengait? Tetapi mengapa kita masih belum dapat menghasilkan sebuah majalah seperti Simply Knitting di Malaysia?

Jika sahabat mengait mempunyai idea untuk menulis, jangan takut jangan segan. Pattern pertama adalah pelajaran yang pertama dan merupakan ilmu yang sangat berharga untuk kita tingkatkan lagi mutu pattern seterusnya. Percayalah!

Sebagai silent reader, banyak yang saya perhatikan ingin menulis tetapi takut memulakan. Kerana apa? Alasan paling utama, kerana TIDAK TAHU dan MALU!
Jangan, jangan malu sahabat. Jika anda tidak mulakan dari sekarang, bilakah lagi?
Walaupun di Malaysia tidak ada Ijazah Knitting, Ijazah Crochet, Ijazah Me-reka pattern mengait, tetapi tanpa Ijazah itupun kita masih boleh lakukannya, bukan? Jikalau ada rezeki lebih, bolehlah tambah ilmu sehingga ke luar negara.

Jika ramai yang mampu menghasilkan patten mengait, mungkin kita akan dapat menjemput lebih ramai lagi bukan sahaja wanita, tetapi remaja dan kanak-kanak untuk menceburi bidang mengait. Ingat ya, bidang mengait kini bukan sahaja setakat hobi, tetapi juga sebagai aktiviti menambah pendapatan yang boleh membantu keluarga. Selain itu, mungkin juga kita mampu membina remaja yang berhemah dan dapat mengurangkan aktiviti liar remaja dengan memperluaskan bidang seni mengait di Malaysia. Jika bukan kita yang memulakan, siapakah lagi, sahabat?

Wah, penulisan saya ini tidak bermaksud untuk menunjukkan bahawa saya lebih pandai dari anda. Tidak sama sekali. Tetapi tulisan kali ini hanyalah untuk meluahkan apa yang terkandung dalam fikiran saya tentang seni ini. Alhamdulillah. Saya gembira menjadi seorang pengait dan saya percaya sahabat semua pun sudah tentu!

Semoga di masa akan datang, Malaysia juga mejadi salah satu negara yang hebat dalam bidang mengait dan bukan setakat mengait dan menghasilkan barang kait, tetapi juga sebagai pengeluar benang kait insya Allah.

Sekadar coretan,
Ery EROGLU
www.daknit.com
9. Oktober. 2014
7.06 PM waktu Malaysia

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.