Jarum dan Benang Kait: Pemilihan saiz jarum dan benang kait

14097403031636166822

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah waktu ini saya berkesempatan untuk menulis lagi. Saya tergerak untuk menulis artikel ini setelah diajukan soalan yang kebanyakkan daripadanya ialah mereka yang baru mula dan ingin belajar mengait. Baiklah, pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih untuk sebarang pertanyaan yang diberikan. Mungkin ada waktunya saya tidak mampu membalas jawapan dengan lebih tepat tetapi mungkin masih boleh dijadikan sebagai panduan jika bermanfaat. Saya juga masih belajar dan menuntut ilmu dari mereka-mereka yang lebih arif. Insya Allah.

Pertanyaan yang biasa diajukan oleh mereka yang baru dalam bidang ini antaranya ialah saiz jarum dan benang kait. Disini ingin saya kongsikan sedikit tips dan panduan untuk mereka yang mahu belajar dan juga kepada yang mahu menambah lebih pengetahuan dalam bidang seni mengait ini.

SAIZ JARUM
Jarum kait terbahagi kepada dua jenis iaitu:

A. Jarum Kait Dua (Knitting)

B. Jarum Kait Satu (Crochet)

Jadual di bawah adalah saiz-saiz jarum kait yang biasa terdapat di pasaran.

knitting crochet sizeBENANG KAIT

Ada pelbagai jenis benang kait yang boleh didapati di pasaran Malaysia pada masa kini. Benang-benang kait ini hadir dalam pelbagai jenis ketebalan dan tekstur yang berbeza walaupun diperbuat daripada material yang sama. Maklumat lebih lanjut tentang benang kait dan kesesuaian dengan projek yang ingin dikait boleh dibaca dengan lebih lanjut di: — >

Jenis-jenis Ketebalan Benang

Pemilihan Benang Kait

Benang Kait

KESESUAIAN JARUM DAN BENANG KAIT

S: Saya adalah pemula, apakah saiz yang perlu saya gunakan untuk belajar mengait?
J: Jika anda adalah seorang pemula, adalah digalakkan untuk anda belajar mengait menggunakan jarum yang bersaiz besar (saiz yang dicadangkan di antara 4.00mm – 5.00mm) dan benang kait yang bersaiz tebal (Medium/DK light worsted/DK worsted – sila rujuk link di atas untuk melihat Jenis-jenis Ketebalan Benang Kait).

S: Pattern apakah yang perlu saya kait untuk saya belajar mengait?
J: Sebelum belajar mengait sesuatu pattern, saya sangat tekankan kepada pemula agar tidak terus “melompat” mengait pattern-pattern tertentu tanpa menguasai asas-asas mengait dahulu. Kenapa perlu belajar asas terdahulu? Apabila kita mempunyai asas yang kukuh, insya Allah, kita akan dapat mengait pattern-pattern yang diinginkan dengan lebih mudah. Samalah seperti kita mahu belajar membuat ayat, betul tidak? Jika ingin belajar menulis ayat yang cantik, perlulah tahu susunan tatabahasa yang betul, maksud perkataan yang digunakan dan cara menulis ayat yang betul. Mengait juga seperti itu.

Belajar Mengait Asas Crochet: http://www.senimengait.com/crochet/

Belajar Mengait  Asas Knitting: http://www.senimengait.com/knitting/  

 

magic5

S: Bagaimana saya perlu tahu saiz jarum yang saya gunakan sesuai dengan benang kait tersebut?
J: Saya sangat tekankan kepada mereka yang mahu mengait WAJIB mengikut saiz yang telah dicadangkan oleh label yang terdapat pada benang kait tersebut untuk pemula. Di setiap benang kait yang mempunyai label, pasti tertulis saiz jarum knitting mahupun crochet yang dicadangkan. Jika anda mengait sesuatu projek sambil merujuk kepada pattern-pattern yang diperolehi daripada buku ataupun internet, adalah lebih baik jika anda menurut cadangan itu.

S: Bagaimana pula jika benang kait yang dicadangkan tidak ada dijual?
J: Untuk masalah ini, anda bolehlah gunakan benang kait yang bersesuaian dan mempunyai persamaan sekurang-kurangnya 85% ke atas dengan benang kait yang dicadangkan. Disini, anda perlu bijak membuat percubaan, bak kata orang, trial and error. Cerita ini untuk mereka yang mengait merujuk pada pattern.

TIPS: jika anda ingin mengait pattern tersebut tetapi mahu mendapatkan saiz yang berbeza, contohnya, jika anda ingin dapatkan saiz newborn dan pattern itu adalah untuk kanak-kanak yang berumur 1 tahun, anda boleh gunakan benang kait ataupun jarum yang lebih kecil daripada saiz jarum dan benang kait yang dicadangkan. Begitu juga sebaliknya. Tetapi, jika anda masih mahu menggunakan saiz jarum dan jenis benang kait yang sama, disinilah peranan GAUGE bermula.

Jika anda mengait TANPA menggunakan mana-mana pattern dan ingin membentuk corak sendiri, anda BEBAS menggunakan saiz jarum dan benang kait yang anda inginkan. Jika anda tidak tahu saiz jarum itu sesuai ataupun tidak, cubalah bermain dengan pelbagai jenis jarum yang anda ada dan kait benang kait tersebut. Disini, anda akan dapat melihat perbezaan dan rasa tekstur yang terhasil daripada “eksperimen” anda itu. Jika anda inginkan projek itu kukuh dan sangat rapat mata kaitannya, bolehlah gunakan saiz jarum 1-2 kali lebih kecil dari yang dicadangkan oleh label dan begitu juga sebaliknya. Jika anda TIDAK TAHU adakah cara ini sesuai, maka bolehlah pula anda cuba gunakan tips ini: kaitlah benang kait tersebut dengan menggunakan semua saiz jarum yang anda ada sehingga satu saat ketika anda sedang mengait menggunakan saiz itu, anda sudah dapat merasakan perasaan “SANGAT SEDAP DAN SELESA SEKALI” ketika mengait menggunakan saiz jarum itu.

Saya pernah membaca sebuah buku berkenaan Knitting di mana penulis itu berkata lebih kurang seperti ini bunyinya,

Jika anda tidak tahu dan buntu dalam memilih projek yang sesuai pada benang kait tersebut, dengarkanlah rintihan benang kait tersebut. Bercakaplah dengan benang kait tersebut sehingga anda boleh rasakan apa yang benang kait itu mahu daripada anda“.

Pada mulanya, saya rasakan, kata-katanya itu seperti tidak masuk akal. Sampai begitu sekali? dalam fikiran saya. Namun begitu, disebabkan kata-katanya itu sentiasa terngiang-ngiang di dalam fikiran saya, maka saya mengambil keputusan untuk cuba mempraktikkan cara ini. Pada mulanya ianya agak sukar tetapi lama-kelamaan saya sudah mula faham apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh penulis tersebut.

Rupanya, ia sudah lama berlaku apabila saya mahu menulis pattern-pattern baru. Benar, ada waktu-waktu tertentu, ketika saya sedang mengait projek baru, seperti ada sahaja yang tidak kena ketika mengait dan saya pasti bukan saya seorang sahaja yang mengalaminya. Berkali-kali juga saya menukar benang kait dan jarum sehinggalah saya bertemu dengan benang kait yang sesuai. Ataupun, jika ada waktu saya sangat degil mahu menggunakan benang kait yang sama, saya akan terus kait dan kait sehinggalah terbayang-bayang corak yang akan terbentuk itu dengan sendirinya apabila saya terus mengait tanpa berhenti. Akhirnya, Alhamdulillah, projek saya siap dengan jayanya.

Alhamdulillah, insya Allah, saya berharap, tulisan saya di petang ini ada manfaatnya dan mudah-mudahan sedikit sebanyak akan membantu anda memilih saiz jarum dan benang kait yang bersesuaian. Banyakkan melatih diri dan teruskan minat ini. Tiada yang mustahil dengan izinNya. Lapangkan dada agar ilmu mudah masuk ke dalam hati dan minda. Insya Allah.

Semoga kita dapat bertemu lagi di artikel akan datang.

Salam Jumaat yang penuh barakah. Semoga Allah swt melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya kepada kita semua. Amin ya rabbal alamin.

Ery EROGLU
www.senimengait.com
Penulis Buku Variasi Asas Knitting by ALAF 21.

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.